Bros Extreme JR juara Pertandingan Tarik Kalat Terbuka





Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman




 

TUTONG, Ahad, 14 Jun. – Pasukan Bros Extreme JR rangkul gelaran juara pada Pertandingan Tarik Kalat Terbuka anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor yang berlangsung di kawasan Padang Pentas Diraja, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, di sini.


Juara membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah BND400.


Sementara naib juara disandang oleh pasukan Bearhill Tuggers yang menerima piala berserta wang tunai berjumlah BND300.


Manakala pemenang tempat ketiga menjadi milik bersama pasukan Seladang Bison dan pasukan Budiman Tuggers 'B', yang masing-masing menerima piala sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam pertandingan berkenaan serta wang tunai berjumah BND200.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Sebanyak 10 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan yang berjaya menarik penyertaan peminat dan penggiat sukan tarik kalat daripada pelbagai kawasan.


Penganjuran pertandingan berkenaan merupakan salah satu inisiatif MPK Panchor dalam memperkukuh pembangunan komuniti melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang sihat serta berdaya saing.


Pertandingan berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk memperkembangkan sukan tarik kalat di Daerah Tutong, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim antara ahli MPK Panchor, komuniti setempat dan para penggiat sukan berkenaan.


Selain itu, acara tersebut juga menjadi medan persediaan bagi atlet-atlet tempatan untuk menyertai pertandingan yang lebih kompetitif di peringkat daerah, kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan. 


Penganjuran acara berkenaan turut memberikan impak positif kepada aspek sosial, budaya dan ekonomi masyarakat setempat.


Kehadiran peserta serta pengunjung membuka peluang kepada para penjaja dan peniaga tempatan untuk menjana pendapatan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mikro dalam kalangan penduduk kampung dan Daerah Tutong secara amnya.


Melalui penganjuran aktiviti seperti berkenaan, MPK Panchor berharap dapat terus memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


Di samping itu, acara berkenaan juga berupaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesejahteraan persekitaran komuniti serta memperkukuh pembangunan masyarakat yang aktif, bersatu padu dan berdaya tahan. 

Close